1,000 Ahli PPBM Perak Keluar Parti




IPOH, 26 Mei (Bernama) -- Lebih 1,000 anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak diketuai Ketua Penaja Bahagian PPBM Ipoh Timur Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Penaja Bahagian PPBM Teluk Intan Jemaat Yaacob isytihar keluar parti, berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu susulan kegagalan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelesaikan konflik dalaman parti di peringkat pusat dan negeri walaupun tempoh seminggu telah diberikan kepada beliau.

Beliau berkata beliau sangat kecewa selain mengingatkan Muhyiddin bahawa peletakan jawatan anggota parti itu akan meninggalkan kesan negatif kepada imej dan kredibiliti PPBM.

"Kami ingin mengingatkan pemimpin PPBM supaya bermuhasabah dan jangan menuding jari atas apa yang berlaku.

"Semua insiden yang berlaku tidak pernah diambil perhatian oleh Presiden PPBM sendiri, selain kami yakin ada ramai lagi anggota akan meninggalkan PPBM," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Azrul Suhadi berkata, rata-rata anggota yang bertindak meninggalkan parti itu juga merupakan penggerak asal selain telah banyak bersusah payah mewujudkan PPBM di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Penyelaras PPBM Pasir Salak Mohamad Hasan pula berkata tindakan keluar parti itu bersifat rela hati tanpa didorong mana-mana pihak tidak berkepentingan.

Beliau berkata amalan kronisme yang semakin ketara dalam PPBM turut menjadi penyumbang kepada tindakannya itu.

"Presiden sendiri catur orang dia untuk beberapa jawatan tertinggi PPBM walaupun di depan kami beliau pernah kata integriti, disiplin dan perpaduan itu merupakan tunjang utama menggerakkan parti, " katanya.

-- BERNAMA