Pakatan Harapan Umum Logo Hadapi PRU14 Jumaat Depan
PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) -- Logo rasmi Pakatan Harapan akan diumumkan pada Jumaat depan (9 Jun) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata logo rasmi pakatan pembangkang itu mengekalkan perkataan "Harapan" dengan sedikit pengubahsuaian.
"Kita telah bersetuju dengan logo tersebut," katanya kepada media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.
Turut hadir, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden Parti Amanah Negara ( Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengenai calon Perdana Menteri, bekas perdana menteri itu berkata mereka tidak membincangkan perkara tersebut pada mesyuarat hari ini.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata pakatan itu menjangka memberi kata putus berkenaan pembahagian kerusi PRU Ke-14 pada Julai depan.
Katanya mesyuarat hari ini turut membincangkan mengenai manifesto, pembahagian kerusi, logo dan semua perkara berkaitan PRU-14.
-- BERNAMA