Prinsip Kerjasama Formula BN Tawan Kembali Parlimen Kepong
KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali Parlimen Kepong sekiranya parti komponen BN di kawasan berkenaan bekerjasama dan bersatu.
Tengku Adnan percaya menerusi prinsip itu, Parlimen Kepong yang disifatkan sebagai kawasan 'hitam' boleh dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.
"Ini kerana prinsip kerjasama seperti perkongsian maklumat dan membudayakan hubungan erat amat perlu bagi memberi contoh kepada rakyat, sekali gus menarik penduduk Kepong untuk terus menyebelahi parti pemerintah.
"Kalau kita bersama, bekerja keras, saya percaya kita dapat menambat hati kawan-kawan, yang penting kerajaan pada hari ini merupakan kerajaan yang prihatin dalam segala aspek walaupun Kepong ini bukan (milik) BN, tapi kita tetap akan bantu.
"Kita akan sentiasa mengambil berat keperluan rakyat, tidak kisah apa orang cakap," katanya semasa berucap pada Program Nur Ramadan 2017 peringkat Parlimen Kepong, di sini hari ini.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata jentera BN di Kepong juga perlu menyelami masalah penduduk di kawasan itu dan segera bertindak menyelesaikannya.
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan kewangan dan barangan keperluan kepada 500 asnaf dari Parlimen Kepong di bawah Program Nur Ramadan, melibatkan golongan asnaf, anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan mereka kurang berkemampuan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Acara tahunan itu dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan sejak 2009 bertujuan mengeratkan silaturahim antara kerajaan dan komuniti setempat membabitkan 13 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
-- BERNAMA