Rakyat Sabah Diingatkan Tidak Terpedaya Dengan Parti Pembangkang Dipimpin Orang Kecewa




SANDAKAN, 4 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan parti pembangkang yang hanya mahu memperdaya bagi meraih sokongan mereka.

Beliau menyifatkan pemimpin parti pembangkang berkenaan merupakan orang yang kecewa dan membuat tohmahan terhadap kerajaan serta pemimpinnya.

"Mereka ini adalah orang yang kecewa kerana hilang pangkat dan mahu menjadi calon dalam pilihan raya lalu, masuk ke kampung-kampung untuk memperdaya rakyat.

"Jangan sesekali terpengaruh dengan orang yang tidak bertanggungjawab ini dan mampu menjejaskan perpaduan kalangan rakyat," katanya pada majlis penyampaian Zakat Ramadan kepada 903 penerima di Kampung Sungai Obar dekat sini, hari ini.

Musa berkata macam-macam janji yang dibuat pemimpin parti pembangkang sebenarnya tidak dapat ditunaikan dan mereka hanya berbohong kepada rakyat.

Ketua menteri berkata tiada manfaatnya memberikan sokongan kepada parti pembangkang yang tidak mampu membela dan melaksanakan pembangunan untuk rakyat.

Berbanding kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN), Musa berkata komitmen membantu meringankan beban rakyat terus dilaksanakan termasuk pada bulan Ramadan.

"Kita (pemimpin BN) terus bekerja untuk rakyat dan turun padang bagi mendekati rakyat, seterusnya mengetahui masalah rakyat untuk diambil tindakan," katanya.

Beliau berkata kerajaan memahami masalah yang disuarakan oleh rakyat dan sentiasa mencari langkah terbaik untuk mengatasinya dengan mengutamakan kepentingan rakyat.

-- BERNAMA