MCA Fokus Pada Hasil, Beri Manfaat Pada Rakyat Dan Negara - Liow
GEORGE TOWN, 4 Jun (Bernama) -- MCA fokus dalam menyampaikan hasil dengan membuat pelbagai pembangunan konstruktif untuk negara ini berbanding parti pembangkang yang sering mengamalkan politik menghasut dan hasad dengki, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Mengambil contoh usaha kerajaan membawa masuk pelaburan asing ke negara ini, Liow berkata pemimpin Pakatan Harapan dilihat cuba mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak benar.
"Kita tidak akan memutar belit isu-isu yang ada kerana kita tahu contohnya apabila kita dapat pinjaman daripada negara China, kita dapat sokongan dari segi 'belt and road' (Jalur dan Laluan). Pembangkang cuba menyatakan pelbagai impak negatif seperti kita akan dijajah oleh China, kita akan jual negara dan sebagainya. Ini semua fakta yang tidak betul.
"Kita nak menyatupadukan rakyat bukan sahaja komuniti Cina malah berbilang kaum untuk kita tumpukan dari segi pembangunan negara bukan dari segi merosakkan negara, mencaci, menghasut, hasad dengki pada negara sendiri," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat 'Jalur dan Laluan' MCA Pulau Pinang di sini hari ini.
MCA Belt and Road Centre (Mbrace), yang dilancarkan Disember tahun lepas, bertujuan membolehkan usahawan Malaysia dan China merebut peluang melalui pertukaran maklumat dan pemadanan perniagaan.
Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata situasi sebaliknya berlaku apabila kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-undang Pinjaman Negeri Pulau Pinang 2017 yang membolehkan kerajaan negeri membuat pinjaman daripada sebuah bank di China.
Beliau berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng menyifatkan pinjaman itu sebagai satu pengiktirafan daripada kerajaan China terhadap kerajaan negeri berdasarkan kepada prestasi kewangan yang baik.
"Apabila negeri Pulau Pinang dapat pinjaman mereka kata ini amat baik. Tapi bila kita dapat pinjaman mereka kata kita nak jual negara. Ini sikap dwi-standard mereka," katanya.
Liow turut menyifatkan kerajaan negeri pimpinan DAP itu sebagai 'cakap tidak serupa bikin' apabila gagal menunaikan 51 janji selepas mengambil alih negeri ini selama sembilan tahun.
"Kita tak mahu macam kerajaan negeri Pulau Pinang cakap tak serupa bikin. 51 janji yang telah dijanjikan sampai hari ini tak dapat ditunaikan. Kita sebagai kerajaan bertanggungjawab, parti Barisan Nasional kita akan tunaikan apa yang kita janji. Kita akan pastikan negara kita terus pesat membangun," katanya.
-- BERNAMA