Usaha Kerajaan Bawa Pembangunan Untuk Rakyat Tiada Henti - Musa




SANDAKAN, 5 Jun (Bernama) -- Usaha kerajaan membawa pembangunan kepada rakyat tiada hentinya demi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan aman dan sejahtera, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

"Kerajaan hari ini yang diterajui Barisan Nasional (BN) sentiasa prihatin dengan rakyat dan mencari pendekatan terbaik membantu rakyat khususnya yang amat memerlukan bantuan dan perhatian," katanya.

Berucap pada majlis penyampaian sumbangan Zakat Ramadan kepada 835 penerima di Kampung Padas dekat sini, hari ini, Musa berkata bagi memastikan keperluan rakyat itu sentiasa didengar, konsep turun padang menjadi keutamaan kepada pemimpin BN.

Malah, katanya, pemimpin BN turun untuk bersama rakyat bukan bermusim tetapi dilakukan pada sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

Beliau berkata untuk memastikan rakyat mendapat pembelaan dengan baik, setiap masalah dan keperluan yang disuarakan oleh mereka akan diberi perhatian serius dan cuba diatasi dengan langkah terbaik.

Musa berkata pada bulan Ramadan ini, konsep turun padang itu tetap dilaksanakan dan tiada alasan untuk pemimpin BN berehat demi rakyat.

-- BERNAMA