DUN Melaka Bentang Usul Laksana DPTN Di Pusat Tahfiz
MELAKA, 5 Jun (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini membentangkan usul mengarahkan pihak berkuasa negeri agar melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) di semua pusat tahfiz di seluruh negeri ini.
Usul berkenaan dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan disokong Datuk Md Yunos Husin (BN-Ayer Molek) sebelum dibahas.
Ketika membentangkan usul itu, Idris berkata usaha ini wajar dilakukan kerana kewujudan maahad tahfiz dan institusi berorientasikan tahfiz memerlukan islah agar masa depan pelajar akan lebih terarah serta mampu menyumbang kepada umat dan negara.
"Meskipun ada institusi tahfiz berada dalam medan politik berbeza, namun matlamat penubuhannya adalah sama iaitu melahirkan generasi al-Quran yang berwibawa selain membentuk jati diri hufaz sejati dalam bidang al-Quran.
"Di harap semua pusat tahfiz di Melaka berdaftar dengan kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) agar sistem pendidikan yang dibangunkan boleh mencapai tahap seperti yang disaran dalam DPTN, lebih sistematik sekali gus memastikan ia mampu melahirkan pelajar berkualiti," katanya.
Menurut Idris sehingga kini terdapat 49 Institusi Pendidikan Islam Swasta (IPIS) ditubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian di Melaka iaitu 20 daripadanya dalam proses pendaftaran dan lapan berjaya didaftarkan di bawah JAIM.
Beliau berkata kerajaan sedar, pengurusan pusat tahfiz yang dikendalikan pihak swasta banyak keterbatasan dari segi kewangan, prasarana yang serba kekurangan, bangunan tidak menepati spesifikasi sijil kelayakan menduduki serta aplikasi metodologi pengajaran dan pembelajaran mengikut cara lama.
"Melalui DPTN semua institusi tahfiz kerajaan dan swasta dapat menyusun semula kurikulum menjadi lebih bersepadu serta meningkatkan mekanisme pengajaran dan pembelajaran. Pengurusan pusat tahfiz yang cekap dan berwibawa mampu menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap Islam yang semakin galak melebar fahaman mereka.
"Namun bagi memantapkan pelaksanaan dasar ini semua agensi seperti JAIM, Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan perlu memainkan peranan masing-masing dengan membuat pemantauan berkala ke semua institusi tahfiz berdaftar di negeri ini," katanya.
Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru) ketika membahaskan usul itu berkata pihaknya menyokong dasar itu dilaksanakan agar pendidikan di pusat tahfiz dapat diselaraskan sekali gus melahirkan pelajar tahfiz yang bukan sahaja cemerlang ilmu agama bahkan juga ilmu.
"Saya percaya dasar khas ini berupaya menentukan garis panduan bagi pembangunan pendidikan tahfiz agar menjadi lebih tersusun dan bersistematik," katanya.
Speaker DUN Melaka Datuk Othman Mohamad kemudian menangguhkan persidangan itu ke hari esok dan Idris dijadual membuat penggulungan untuk usul itu esok.
-- BERNAMA