Mubarak Dekati Pengundi Umur 50 Tahun Ke Atas




SHAH ALAM, 14 Jun (Bernama) -- Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor akan turut membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan memfokuskan kepada pengundi berusia 50 tahun ke atas di Selangor.

Yang Dipertuanya Tan Sri Abu Hassan Omar berkata Mubarak Selangor telah menubuhkan jentera di peringkat negeri iaitu Majlis Permuafakatan Parlimen yang turut mendapat kerjasama 15 badan bukan kerajaan (NGO).

"Melalui majlis ini ada wakil-wakil Mubarak Selangor dan NGO yang akan dipertanggungjawabkan untuk bantu jentera BN di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen masing-masing.

"Sasaran kami kepada pengundi berusia lebih 50 tahun berikutan mereka mewakili kira-kira 30 peratus daripada bilangan pengundi di Selangor," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 17 balu dan wakil bekas wakil rakyat Selangor yang telah meninggal dunia, di sini hari ini.

Sumbangan itu adalah bagi mengenang jasa bekas-bekas wakil rakyat ini yang telah banyak membantu dalam pembangunan Selangor.

Abu Hassan yang juga bekas Menteri Besar Selangor berkata gerak kerja jentera itu akan memberi tumpuan kepada 43 daripada 56 kawasan DUN dan 13 daripada 22 kawasan Parlimen di negeri itu.

Pada PRU13, BN memenangi 12 kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen di Selangor.

Beliau yakin BN mampu merampas semula Selangor berdasarkan perkembangan politik terkini di Selangor yang membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS.

"Selepas mentadbir Selangor selama dua penggal kita dapati banyak kelemahan termasuklah membabitkan isu perumahan, infrastruktur yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri selain isu-isu dalaman antara parti-parti pembangkang itu sendiri.

"Isu terbaharu membabitkan hubungan PAS dan PKR yang telah putus kerjasama politik tetapi masih berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor," katanya.

-- BERNAMA