Ahli UMNO Perlu Mantapkan Gerak Kerja Di Akar Umbi Dan Parti - Musa
KINABATANGAN, 17 Jun (Bernama) -- Ahli UMNO perlu bekerja keras dengan melipatgandakan usaha dan memantapkan pelaksanaan gerak kerja di peringkat akar umbi dan parti.
Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata usaha itu termasuklah menunaikan mandat, memenuhi harapan dan janji serta menyelesaikan masalah rakyat dengan terbaik.
Justeru, katanya, program-program turun padang untuk rakyat perlu diteruskan seperti biasa walaupun di bulan puasa.
"Bagi UMNO Sabah, penganjuran Majlis Berbuka Puasa mengikut zon di seluruh Sabah bagi memberikan peluang kepada saf kepimpinan turun padang.
"Ia juga memberikan kesempatan kepada rakyat untuk beramah mesra, berbuka puasa dan beribadah bersama-sama," katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Zon 5 di Masjid Daerah Kinabatangan di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Yahya Hussin.
Musa berkata sebelum ini, majlis berbuka puasa UMNO Sabah telah menjelajah ke seluruh negeri mengikut zon iaitu di Sepanggar, Beaufort, Kota Belud, Nabawan dan selepas ini UMNO Bahagian Silam dalam Zon 6.
Katanya kesudian rakan-rakan pimpinan parti komponen Barisan Nasional bersama-sama dalam majlis tersebut bukti kukuhnya semangat muafakat, ukhuwah dan keharmonian beragama di Sabah selama ini.
-- BERNAMA