PAS Sarawak Cadang Tapisan Wajib Bagi Status Kerakyatan Calon P/raya




MIRI, 18 Jun (Bernama) -- PAS Sarawak mencadangkan agar kerajaan melaksanakan tapisan wajib bagi mereka yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya di negara ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Jofri Jaraiee berkata kerajaan perlu membuat tapisan terhadap bakal calon sebelum mereka dibenarkan bertanding pada pilihan raya dan beliau menggesa langkah itu dilaksanakan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Kami tidak mahu isu ini berlaku lagi kerana ia akan membazirkan wang rakyat sekiranya pilihan raya kecil perlu diadakan bagi menggantikan seseorang wakil rakyat, tak kiralah dari kerajaan atau pembangkang, yang didapati memiliki dua kerakyatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, bercakap pada sidang akhbar di sini, pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri Sarawak mengadakan siang tergempar dalam masa dua minggu akan datang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching mengekalkan Dr Ting Tiong Choon sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Pujut semalam.

"Rakyat di Sarawak perlu tahu mengenainya dan Ketua Menteri patut memohon maaf," katanya.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk menangani perkara berkaitan keputusan pilihan raya kerana ia adalah hak eksklusif mahkamah pilihan raya.

-- BERNAMA