Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

Program UMNO Bantu Rakyat Dilaksana Tanpa Prejudis Politik




SEMPORNA, 20 Jun (Bernama) -- Program UMNO Bantu Rakyat yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dilaksanakan tanpa prejudis dengan mereka bukan penyokong UMNO turut mendapat manfaat dari pemberian sumbangan disediakan kerajaan yang ditunjangi parti itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata meskipun terdapat rakyat berbeza ideologi politik namun kerajaan tidak meminggirkan golongan itu dan turut memberi pelbagai bentuk sumbangan.

"Sehubungan itu, penyokong bukan UMNO atau seluruh rakyat boleh menilai sendiri parti mana yang bersandarkan kaca atau permata.

"Rakyat adalah hakim yang boleh memilih parti yang sarat dengan kebajikan atau parti yang sarat dengan fitnah dan adu domba," katanya ketika ditemui pemberita pada program ziarah kasih Ramadan di sini hari ini.

Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji berkata rakyat tidak seharusnya memilih parti 'kaca' yang hanya cantik dilihat namun apabila jatuh, ianya akan berderai namun parti 'permata' akan kekal sebagai permata.

"Kita tidak mahu rakyat tertipu dengan orang tertentu yang menjadi pemimpin untuk mengaut keuntungan demi kepentingan peribadi.

Saya berharap agar rakyat, khususnya di Semporna akan terus memberikan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan perdana menteri," katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Azeez berkata beliau telah diamanahkan oleh Perdana Menteri untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat Semporna, termasuk di Dewan Undangan Negeri Bugaya.

Katanya, program ini telah diadakan di 57 parlimen seluruh negara dan terdapat 10 parlimen lagi akan dijelajah bagi memberi manfaat kepada golongan asnaf, fakir miskin dan golongan yang memerlukan.

--BERNAMA