BN Persoal Kos Tinggi Bagi Pembinaan Tiga Jalan Utama Pulau Pinang




CYBERJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberi tempoh seminggu atau sehingga selepas Aidilfitri kepada kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP untuk menjelaskan bagaimana ia telah terlebih bayar sebanyak 400 peratus bagi tiga projek utama jalan di pulau itu.

Abdul Rahman berkata jika tiada penjelasan diberi, beliau tidak akan teragak-agak untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta siasatan diadakan jika terdapat elemen rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

"Berdasarkan Laporan Akaun Awam Pulau Pinang 2016, kos kajian kebolehlaksanaan bagi ketiga-tiga jalan utama iaitu jalan berkembar 10.63 kilometer dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke lencongan 5.7 kilometer Air Itam dan lencongan 4 kilometer dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Persiaran Gurney ialah RM31.3 juta sementara kos bagi reka bentuk terperinci ialah RM177.5 juta atau sejumlah RM208 juta.

"Menurut jawapan bertulis yang diberikan kepada Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 19 Mei tahun ini, exco kerajaan negeri Lim Hock Seng telah mengesahkan bahawa jumlah keseluruhan RM208.8 juita telah dibayar kepada pemegang konsesi menggunakan tanah negeri ini," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata oleh kerana pembinaan jalan traya bukan baharu di Malaysia dan negara mempunyai pengalaman luas membina jalan, pasukan Komunikasi Strategik BN mempersoalklan kos yang tinggi dan menulis kepada Lembaga Jurutetra untuk mendapatkan pendapat profesionalnya.



Dalam jawapannya, beliau berkata, Lembaga Jurutera menyatakan bahawa RM177 juta yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada pemegang konsesi adalah empat kali lebih tinggi daripada maksimum yang dibenarkan di bawah skala yuran yang diwartakan yang lembaga membuat kiraan ialah RM41 juta.

"Berdasarkan jawapan Lembaga Jurutera, kami percaya bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah terlebih bayar sebanyak RM136.4 juta bagi kos perundingan untuk ketiga-tiga jalan utama. Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjelaskan mengapa mereka mereka membayar lebih tinggi daripada skala maksimum yang diwartakan," katanya.

Abdul Rahman berkata jadual asal projek apabila projek itu dimeterai pada 2013 menunjukkan bahawa pembinaan dua daripada tiga jalan utama sepatutnya pada 2015 dan siap pada 2018.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemeriksaan lanjut bahawa setakat ini, pembinaan fizikal belum bermula di mana-mana jalan.

Abdul Rahman berkata sebagai perbandingan, kerajaan BN telah membelanjakan RM230 juta untuk membina sepenuhnya jambatan Batang Sadong, jambatan terpanjang di Sarawak pada masa ini.

Jambatan ini yang terkandung dalam janji Pilihan Raya Sarawak 2011, telahpun dibuka kepada orang ramai tahun lepas.

-- BERNAMA