Pembangkang Cuba \'jual Minyak\', Jangan Terperdaya - Ongkili
KOTA MARUDU, 23 Jun (Bernama) -- Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengingatkan pengundi supaya tidak terperdaya dengan janji-janji kosong pembangkang.
Beliau berkata kebelakangan ini, ahli-ahli politik bermusim dilihat melawat ke kampung-kampung dengan niat untuk memenangi hati rakyat.
Ongkili berkata ahli politik bermusim berkenaan cuba 'jual minyak' dan mengelirukan rakyat dengan memberikan janji-janji kosong.
"Perbezaan antara kami dengan mereka ialah kami ikhlas dalam menjalankan tugas kami. Kami pastikan yang kami tunaikan janji kami untuk pembangunan dan memastikan dana disalurkan untuk pelaksanaan projek-projek.
"Pembangkang hanya pandai menabur janji. Keikhlasan mereka boleh dipersoalkan," katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Sungoi Lama di sini, hari ini.
Pada majlis itu Ongkili mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk naik taraf jalan, jambatan, dewan dan tandas di dua buah kampung - Kampung Bukit Lalang dan Kampung Mangaris.
Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air turut mengarahkan supaya projek itu disiapkan dalam tempoh 60 hari.
-- BERNAMA