Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

Utamakan PRU 14 - Mustapa




Mustapa hadir Majlis Mesra Raya Perantau, NGO dan Penjawat Awam di RTC Kota Bharu

KOTA BHARU, 28 Jun (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menegur sikap segelintir anggota parti itu di negeri ini yang ghairah menjalankan kempen untuk merebut kedudukan dalam parti berbanding melakukan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mustapa yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau mendapat laporan secara lisan bahawa terdapat segelintir anggota parti itu melakukan kempen secara terang-terangan walaupun pucuk pimpinan sebelum ini telah menangguhkan pemilihan sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Ini satu perkara yang kurang menyenangkan kita di Badan Perhubungan (UMNO Kelantan). Kita mahu semua pihak supaya jangan terlalu ghairah berkempen jawatan dalam parti kerana tumpuan kita adalah kemenangan dalam PRU14.

"Kita tak mahu mana-mana pihak dengan kegiatan berkempen mereka untuk pemilihan parti, menggagalkan cita-cita masyarakat luar bandar dan masyarakat bawahan untuk melihat perubahan di Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Mesra Raya Perantau, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Penjawat Awam di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Bandar Baharu Tunjong di sini, hari ini.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Yahaya Mamat.

Mengulas lanjut beliau berkata terdapat perubahan sokongan terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar terhadap UMNO ketika ini.

"Rakyat di bawah ini semakin selesa dengan Barisan Nasional (BN), maka dengan itu janganlah kita buang peluang yang ada ini begitu sahaja. Segala usaha, kerja dan tenaga kita hendaklah ditumpukan kepada usaha-usaha untuk membina kekuatan parti sehinggalah kita mencipta kemenangan.

"Jangan ini (kempen pemilihan jawatan dalam parti) menjadi agenda besar. Itu perkara kecil kerana yang penting kita bersama nak capai kemenangan di Kelantan,\" katanya.

-- BERNAMA