PRS Letak Muka Baharu Dalam PRU Akan Datang




KUCHING, 3 Julai (Bernama) -- Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan mencalonkan muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dalam usahanya menyerahkan kesemua enam kerusi parlimen yang ditandinginya kepada Barisan Nasional (BN).

Presiden parti Tan Sri Dr James Masing Jemut bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah muka baharu yang akan dicalonkan.

"Akan ada perubahan namun berapa ramai (muka baharu) saya masih teliti," kata Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak kepada pemberita selepas acara 'Ngiling Tikai' atau penutup Pesta Gawai di kediamannya di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya sama ada beliau telah menyerahkan senarai calon kepada Ahmad Zahid, beliau berkata perkara itu akan diumumkan apabila tiba masanya.

PRS mempunyai enam kerusi parlimen dan Masing berkata beliau telah berjanji kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang parti itu akan menangi kesemua kerusi tersebut untuk BN pada PRU-14 nanti.

Mengulas isu lain berkaitan kenyataan beliau yang menjadi tajuk utama akhbar tempatan 'No Dam No Road' (Tiada empangan tiada jalan raya), Masing berkata beliau tidak pernah membuat kenyataan itu.

"Saya tidak pernah berkata tiada empangan tiada jalan raya, tajuk berita itu salah. Saya tidak pernah berkata demikian. Media yang kata.

"Jika kawasan terbabit tidak ada empangan, kerajaan masih akan bina jalan raya tapi akan ambil masa," kata Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak.

Jelas beliau yang dimaksudkannya ialah pembinaan Empangan Baleh akan mempercepatkan proses pembinaan jalan raya ke Baleh yang akan menelan belanja RM17 bilion.

"Pada akhirnya, jalan akan dibina di seluruh Sarawak sama ada kawasan itu ada empangan atau tidak, namun jika ada empangan, empangan itu yang pada akhirnya akan membayar kos membina jalan," katanya.

Beliau memberi contoh pembinaan jalan Bakun yang katanya dibiayai menerusi pendapatan yang dijana daripada Empangan Bakun.

Mengulas satu lagi isu, Masing berkata kerajaan negeri akan membina semula Rumah Panjang Kenyah 15 pintu di Uma Badeng, Sungai Asap di Belaga yang hangus terbakar baru-baru ini.

-- BERNAMA