Permohonan Pengundi Dapatkan Semakan Kehakiman Dirujuk Kembali Ke Mahkamah Tinggi




PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menyerahkan kembali kepada Mahkamah Tinggi untuk mendengar pemohonan semakan kehakiman yang dikemukakan tiga pengundi kawasan Hulu Selangor bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah sempadan kawasan pilihan raya Kuala Kubu Bahru (KKB) dan Batang Kali.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel tiga hakim membenarkan rayuan P. Maradeveran, Zahar Rusuli dan Yong Chan Hee bagi mengubah keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.

Pada 25 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan mereka atas alasan permohonan semakan kehakiman difailkan di luar had tempoh yang ditetapkan. Mahkamah berkenaan membuat keputusan itu setelah membenarkan bantahan awal SPR terhadap permohonan mendapatkan semakan kehakiman oleh pemohon.

Dalam hujahnya, SPR berkata pengundi terbabit mengemukakan cabaran perundangan mereka di luar daripada had tempoh ditetapkan yang bermula pada 29 April tahun lepas - hari SPR mewartakan pindaan daerah mengundi bagi kawasan pilihan raya Parlimen.

Bagaimanapun, pengundi berkenaan menegaskan bahawa tempoh 90 hari yang ditetapkan mengikut Perintah 53 Peraturan 3 (6) Peraturan-peraturan Mahkamah Tinggi 2012 bagi memfailkan saman itu sepatutnya bermula pada 3 Ogos 2016 apabila SPR menjawab pertanyaan mereka melalui sepucuk surat berhubung pindaan berkenaan.

Tengku Maimun, yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof, berpendapat tempoh berkenaan bermula pada 3 Ogos tahun lepas.

Beliau menetapkan 11 Julai sebagai tarikh sebutan kes berhubung perkara itu di hadapan pendaftar Mahkamah Tingggi.

Ketiga-tiga pengundi berkenaan memfailkan permohonan kebenaran itu pada 21 Okt tahun lepas bagi mendapatkan perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan SPR meminda sempadan kawasan pilihan raya KKB dan Batang Kali serta suatu perintah untuk mengetepikan keputusan suruhanjaya itu untuk mengubah kawasan pengundi berdaftar daripada Batang Kali ke KKB dan sebaliknya.

Dalam permohonan itu, mereka berkata pada 29 Apri 2016, SPR menyiarkan satu notis melalui Warta Persekutuan bagi memaklumkan tentang perubahan daerah mengundi di kawasan pilihan raya yang dilaksanakan mengikut Seksyen 7(2) Akta Petisyen Pilihan Raya 1958.

Maradeveran dan Zahar, yang merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Batang Kali, menulis surat kepada SPR menyatakan bahawa hak mereka untuk mengundi mengalami prejudis teruk selepas mereka mendapati pada 24 Julai tahun lepas bahawa kawasan mengundi mereka diubah daripada Batang Kali ke KKB.

Yong, seorang pengundi di kawasan pilihan raya KKB pula mendakwa dia terjejas teruk oleh perubahan sempadan pilihan raya bagi KKB dan Batang Kali.

Pengundi terbabit diwakili peguam Gobind Singh Deo, manakala peguam kanan persekutuan Datuk Amarjeet Singh mewakili SPR.

-- BERNAMA