Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

PRU 14: Gerakan Yakin Rampas DUN Sidam, Derga




ALOR SETAR, 7 Julai (Bernama) -- Parti Gerakan yakin dapat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam dan Derga pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Mah Siew Kong.

Beliau berkata parti itu sudah pun menyusun strategi untuk menghadapi PRU14 bagi memastikannya meraih kemenangan dan meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

"Walaupun kita kalah di dua kerusi itu pada PRU13, calon yang bertanding tetap meneruskan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat Kedah...jika dilihat, kita kalah tipis di Derga jadi saya yakin kita mampu menang semula kerusi itu.

"...Gerakan dan parti komponen lain perlulah terus bekerjasama bagi membolehkan kerusi-kerusi di Kedah dirampas kembali," katanya kepada pemberita selepas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan persidangan perwakilan Gerakan peringkat negeri 2017 di sini, hari ini.

Pada PRU13, calon BN dari Gerakan Bee Sieong Heng kalah kepada Robert Ling Kui Ee dari PKR dengan majoriti 5,964 undi dalam pertandingan DUN Sidam di bawah Parlimen Sungai Petani.

DUN Derga di bawah Parlimen Pokok Sena pula dimenangi Tan Kok Yew (DAP) apabila mengalahkan Dr Cheah Soon Hai calon BN (Gerakan) dengan majoriti 1,156 undi.

Mah berkata bagi PRU14, Gerakan menamakan Cheah sebagai calon untuk bertanding semula bagi merebut kerusi DUN Derga manakala di kerusi DUN Sidam, parti itu mencalonkan Bendahari Gerakan Kedah Tan Kok Seong.

"Dengan pemilihan calon lebih awal, ia membolehkan mereka bekerja lebih awal untuk menyelesaikan apa sahaja masalah yang timbul dan tidak hanya menunggu di saat-saat akhir sebelum pilihan raya,\" katanya sambil memberitahu sokongan rakyat di negeri ini adalah lebih baik berbanding PRU13.

-- BERNAMA