DAP Perlu Adakan Pemilihan Semula CEC - ROS
PUTRAJAYA, 7 Julai (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meminta DAP supaya mengadakan sekali lagi pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) baru yang sah dan telus bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.
Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata ini kerana ROS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 Sept 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.
Beliau berkata pemilihan semula itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Dis 2012, yang melibatkan seramai 2576 perwakilan dari 865 cawangan.
"Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.
"Justeru itu, ROS mengambil pendirian supaya parti DAP perlu mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC baharu yang sah dan telus bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan langkah itu amat penting di sisi undang-undang memandangkan pelantikan bagi jawatan utama parti mempunyai peranan yang penting sebagai wakil parti yang mempunyai autoriti untuk menandatangani watikah pelantikan calon bagi mewakili parti dalam pilihan raya yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.
Mohammad Razin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin lepas mengenai pertemuan dengan ROS berhubung isu itu selain kenyataan beberapa pemimpin DAP mengenai status pemilihan semula CEC tersebut.
Mohamad Razin berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu untuk memilih 20 orang anggota yang sah berpandukan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP untuk membolehkan pemilihan itu diiktiraf ROS.
Dalam pada itu, beliau berkata timbalan perdana menteri dalam pertemuan mereka telah menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh ROS hendaklah berlandaskan kepada Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.
ROS menganggap DAP adalah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini pihak ROS tidak berniat sama sekali untuk membatalkan parti DAP,? katanya.
-- BERNAMA