Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

PAP Desak ROS Batalkan Pendaftaran DAP, Bukan Arah Adakan Pemilihan Semula CEC




GEORGE TOWN, 8 Julai (Bernama) -- Parti Alternatif Rakyat (PAP) hari ini mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran parti DAP, bukannya meminta parti itu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

Naib Presiden PAP, Rahmad Isahak berkata keputusan mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC disifatkan sebagai tidak setimpal dengan krisis yang ditimbulkan parti itu sehingga mengelirukan rakyat.

"Kita menunggu siasatan selesai hampir empat tahun dan keputusan ini tidak adil... Mereka (DAP) seharusnya dihukum dengan membatalkan penubuhan parti itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas arahan ROS supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC yang sah dan telus bagi membolehkan para perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata ROS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 Sept 2013, adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Sementara itu Rahmad berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng harus bertanggungjawab terhadap dakwaan melakukan pelbagai kesalahan dan pelanggaran undang-undang pertubuhan dalam tempoh empat tahun lepas.

-- BERNAMA