Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

DAP Perlu Adakan Pemilihan Semula Jika Betul Telus - Mah




KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- DAP sebagai sebuah parti yang kononnya menjunjung prinsip ketelusan perlu patuh kepada keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata aduan mengenai keputusan pemilihan DAP pada tahun 2013 telah dibuat oleh anggota-anggota DAP sendiri tanpa campur tangan Barisan Nasional (BN).

"Ini bukan perkara yang baharu, sudah dibangkit lama oleh anggota mereka. DAP sering mengkritik parti lain termasuk Gerakan sekiranya berlakunya sebarang isu namun berdiam diri apabila membabitkan parti mereka sendiri.

"Jika DAP betul parti yang telus mereka perlu patuh arahan ROS dan mendengar permintaan anggota parti mereka," katanya kepda pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri parti Gerakan di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 Sept 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Dis 2012, melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

-- BERNAMA