UMNO Beluran Kutuk Tindakan Pihak Jadi Talibarut Asing Mahu Jatuhkan Ekonomi Negara
SANDAKAN, 8 Julai (Bernama) -- UMNO Bahagian Beluran mengutuk tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup menjadi talibarut asing dengan niat jahat untuk melemah dan menjatuhkan ekonomi negara.
Ia merupakan salah satu dari tiga usul yang dikemukakan pada Persidangan Perwakilan UMNO bahagian itu di sini, hari ini, yang dirasmikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Ketua Bahagian UMNO Beluran Datuk James Ratib berkata dua lagi usul yang dikemukakan adalah bahagian itu sebulat suara berdiri teguh dan tetap mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya usul ketiga bahagian itu menentang sebarang usaha dan tindakan campurtangan pihak asing dalam soal kedaulatan dan pentadbiran negara.
"Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang bersengkongkol dengan pihak asing semata-mata untuk kepentingan politik sempit mereka," katanya.
Menurutnya bagi UMNO Bahagian Beluran, tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab ini merupakan satu pengkhianatan kepada kedaulatan negara.
Beliau berkatab ini kerana, ia menjejaskan kestabilan negara dan keharmonian hidup rakyat di bawah pemerintahan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.
Persidangan UMNO Bahagian Beluran yang pertama diadakan bagi UMNO bahagian di negeri ini dihadiri 700 perwakilan dari 250 cawangan.
-- BERNAMA