UMNO: Elak Calon Bidan Terjun - Tajuddin




GERIK, 8 Julai (Bernama) -- Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu membuat penelitian khusus terhadap calon-calonnya yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi mengelak daripada meletakkan calon 'bidan terjun' yang boleh mengundang masalah dan kekalahan kepada parti.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata calon 'bidan terjun' yang tidak mempunyai sebarang rekod pencapaian boleh mendatangkan masalah terutama daripada sudut sokongan undi masyarakat setempat di kawasan yang ditandingi.

Beliau berkata syarat sedemikian juga perlu diguna pakai terhadap calon-calon wanita selain mereka perlulah berkredibiliti dan mampu memberi kemenangan kepada parti.

"Calon juga haruslah disukai penduduk setempat dan merupakan seorang yang boleh membuat kerja,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Gerik di sini, hari ini. .

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata beliau juga 'tidak kisah' jika 30 peratus atau 35 peratus calon wanita untuk diletakkan untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

Semalam, Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepong menyatakan keyakinannya bahawa 30 peratus calon wanita akan bertanding pada PRU14 berdasarkan kepada kelayakan dan sokongan yang diperoleh mereka.

Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak menyelar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Mahathir Mohamad yang berdolak dalik berhubung keputusan pembangkang melantik bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jika mereka memenangi PRU14.

Beliau berkata ini membuktikan prinsip dan pengaruh bekas perdana menteri itu semakin berkurangan dan mampu disanggah oleh mana-mana pihak.

-- BERNAMA