Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

UMNO Berjuang Demi Agama, Bangsa Dan Tanah Air - Badruddin




YAN, 8 Julai (Bernama) -- Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata perjuangan UMNO sentiasa berteraskan agama, bangsa dan tanah air demi membela rakyat tanpa mengira kaum.

Sehubungan itu, beliau meminta kepimpinan dan anggota parti itu supaya sering 'turun padang' untuk menjelaskan kepada rakyat tentang perjuangan UMNO yang telah banyak berjasa kepada mereka sejak dahulu lagi.

Beliau berkata pendekatan bertemu masyarakat dan bertanya khabar hendaklah diteruskan agar masyarakat sentiasa mengingati parti UMNO.

"Saya menyeru semua ahli UMNO kena tekad dalam perjuangan yang ikhlas...diberi kekuatan kepada kita untuk mempertahankan parti yang selama ini telah banyak berjasa kepada rakyat," katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Jerai di sini, hari ini,

Turut hadir Anggota Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak Datuk Ku Rahman Ku Ismail.

Badruddin juga menggesa sayap Wanita, Pemuda dan Puteri terus setia bersama saf kepimpinan parti dan tidak terpengaruh dengan tuduhan dan fitnah yang boleh memecah belah sesama anggota parti.

"Jangan dengar adu domba dan fitnah, sebaliknya buat kerja dan ajaklah anak muda jadi ahli UMNO. Terangkan tentang perjuangan UMNO yang suci dan yang tidak merugikan sesiapa," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO bahagian itu Anisah Che Amat berkata pihaknya yakin UMNO Jerai dapat mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita buat kerja dan bukan cakap kosong, Alhamdulillah warga Jerai masih yakin dengan UMNO...mereka percaya UMNO adalah parti yang mampu membela nasib rakyat dan terbukti sejak kemerdekaan lagi," katanya.

-- BERNAMA