Wanita UMNO Pokok Sena Nekad Tebus Kekalahan Pada PRU13




POKOK SENA, 8 Julai ( Bernama) -- Wanita UMNO Bahagian Pokok Sena berikrar akan bekerja keras bagi membantu memastikan Barisan Nasional (BN) berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Pokok Sena dan dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ketua Wanita bahagian itu, Datuk Salmah Mt Isa berkata semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh anggota perwakilan pergerakan itu membuktikan keazaman mereka untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi oleh pembangkang pada PRU13 pada 2013.

Justeru, katanya, gerak kerja yang disusun serta kerjasama yang semakin meningkat dalam jentera parti memberi petanda positif kepada UMNO di kawasan tersebut.

"Kita nekad untuk tebus kekalahan di kerusi berkenaan serta akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Lada," katanya kepada Bernama selepas persidangan perwakilan bahagian itu, yang dihadiri hampir 500 anggota di sini hari ini.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Pokok Sena dimenangi oleh calon PAS, Datuk Mahfuz Omar yang mengalahkan calon BN, Datuk Shahlan Ismail dengan majoriti 3,935 undi.

Kerusi DUN Derga dimenangi oleh wakil DAP, Tan Kok Yew dan kerusi DUN Bukit Pinang oleh calon PAS, Romani Wan Salin manakala BN memenangi kerusi DUN Lada menerusi Datuk Ahmad Sudin yang mengalahkan calon PAS, Izzat Mohamad Shauki dengan majoriti 1,324 undi.

Sementara itu, timbalan ketua bahagian, Datuk Ariffin Man, yang merasmikan persidangan itu, mengesa anggota parti mendekati pengundi muda dengan lebih aqresif memandangkan 45,000 daripada 80,000 pengundi di kawasan itu adalah berusia antara 21 hingga 40 tahun.

"Golongan muda ini adalah kunci hala huju kerajaan BN pada pilihan raya nanti," katanya.

-- BERNAMA