DAP Tunggu Surat RoS, Adakan Pertemuan Bincang Isu Pemilihan Semula




KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- DAP akan mengadakan mesyuarat dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung arahannya supaya parti itu mengadakan pemilihan semula selepas menerima surat rasmi.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata sehingga hari ini, parti itu belum menerima sebarang surat daripada RoS berhubung perkara itu.

"Kami belum menerima surat rasmi daripada RoS yang memaklumkan keputusannya kepada kami.

"DAP akan mengadakan perbincangan dengan RoS sebaik sahaja kami menerima surat daripada RoS untuk mendapatkan penjelasan berhubung keputusan yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar," kata beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam sagtu kenyataan berkata DAP tidak akan dibatalkan pendaftaran tetapi ia perlu mengadakan pemilihan semula bagi 20 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) susulan aduan oleh beberapa anggota parti mendakwa berlaku manipulasi dalam pemilihan.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, parti itu telah mengadakan pemilihan semula anggota CEC pada Sept 2013 dan keputusan pemilihan telah dikemukakan kepada RoS pada November 2013, dan oleh itu, beliau berkata soal mengadakan pemilihan semula tidak timbul.

"Bagaimanapun, kami bersedia mengadakan pertemuan selanjutnya mengenai perkara itu," kata beliau.

-- BERNAMA