Kehadiran Rakyat Bukti Sokongan Kepada Perdana Menteri
PEKAN, 9 Julai (Bernama) -- Kehadiran lebih 70,000 pengunjung daripada pelbagai kaum pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini, membuktikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri masih tetap kukuh dan utuh.
Pengerusi Jawatankuasa Induk majlis itu, Datuk Abu Bakar Harun berkata orang ramai telah mula membanjiri Taman Tasik Sultan Abu Bakar seawal pukul 8 pagi, dua jam lebih awal dari masa majlis bermula.
"Mereka bukan hanya datang dari sekitar Pekan dan Kuantan, tetapi ada yang datang dari negeri lain. Mereka ini menyatakan kehadiran mereka adalah sebagai sokongan dan terima kasih kepada Perdana Menteri.
"Mereka katakan Perdana Menteri telah lakukan pelbagai usaha dalam memimpin kerajaan yang ada untuk bantu rakyat dan tidak putus-putus memberikan khabar gembira dengan pelbagai bentuk bantuan," katanya kepada Bernama semasa ditemui pada majlis itu di sini, Ahad.
Turut berangkat memeriahkan majlis yang merupakan tradisi tahunan Najib selaku Anggota Parlimen Pekan ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
Sementara itu, Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) Tan Sri Pheng Yin Huah berkata beliau sanggup menangguhkan urusan perniagaannya hari ini semata-mata ingin mengunjungi rumah terbuka Najib di sini.
"Saya bukan hanya datang seorang, tetapi segerombolan...bersama-sama dengan anggota persatuan dari seluruh pelusuk Pahang. Kami mesti datang sebagai sokongan kepada Najib kerana kami semua adalah anak Pahang.
"Kami juga yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri dalam menjaga ekonomi negara. Beliau banyak beri bantuan kepada golongan peniaga. Semua kaum pun beliau beri peluang dan jaga. Itu yang buatkan kami menyokong beliau," katanya.
Sementara itu, seorang pengunjung Mohd Zainal Isa, 37, berkata beliau keluar awal dari rumahnya di Kuantan untuk ke Pekan kerana sudah menjangkakan jalan ke taman tasik itu akan sesak dan sukar mendapat tempat letak kereta.
Katanya, walaupun 'berhadapan cabaran untuk mencari tempat letak kereta', beliau tetap mahu hadir kerana enggan melepaskan peluang melihat pemimpin negara itu secara berhadapan kerana sudah pasti peluang berbuat demikian sukar diperoleh di tempat lain.
"Memang tak rugi datang kerana suasana sangat meriah dengan pelbagai lapisan masyarakat hadir. Saya pula lebih gembira kerana tak sangka berpeluang untuk bersalaman dengan Perdana Menteri.
"Berbaloi saya datang awal kerana dapat berada di bahagian hadapan laluan Perdana Menteri. Juadah yang disediakan juga pelbagai, sampai rambang mata saya untuk memilih apa yang perlu dimakan dahulu," katanya.
Bagi Suriana Zahri, 47, yang tinggal di Rompin dan pertama kali berkunjung ke rumah terbuka pemimpin nombor satu negara itu pula menyifatkan suasana majlis begitu meriah seperti pesta dan bukannya seperti rumah terbuka yang biasa dihadirinya.
Katanya, beliau lebih teruja untuk melihat kelibat pemimpin dan orang kenamaan serta artis jemputan yang hadir ke majlis itu, berbanding untuk beraya.
Anak jati Pekan Hah Foong Moi, 63, pula menyifatkan keramahan Najib terhadap rakyat memikat hatinya sekeluarga untuk memberi sokongan terhadap pemimpin negara itu dengan menghadiri rumah terbuka setiap tahun.
"Setiap tahun majlis ini dipenuhi orang ramai. Semoga jalinan hubungan mesra antara pemimpin dan rakyat yang dapat kita lihat hari ini berkekalan dan keharmonian kaum yang sentiasa diberi perhatian terus terjalin kukuh," katanya.
Pengunjung yang hadir dihidangkan dengan lebih 200 juadah istimewa termasuk laksa Pahang, opor daging, rendang dan ketupat serta patin masak tempoyak selain turut dihiburkan dengan persembahan artis terkenal tanah air iaitu Ara, Caliph Buskers, Ameng, dan Nash.
-- BERNAMA