DAP Perlu Patuhi RoS Jika Tidak Sembunyi Sesuatu - Hishammuddin
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- DAP perlu mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) seperti yang diputuskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi membuktikan mereka tidak menyembunyikan sesuatu, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Katanya DAP yang mendakwa memperjuangkan prinsip demokrasi seharusnya tidak menutup suara akar umbi parti tersebut yang mahukan pemilihan semula CEC.
"Kalau betul tidak ada sesuatu yang tidak kena mengapa mereka takut sangat nak adakan pemilihan semula. Jika mereka tidak ada sembunyikan apa-apa, lakukan (pemilihan) segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan secara serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Cheras di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata DAP juga tidak sepatutnya menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebagai punca masalah mereka.
"Ini masalah dalaman mereka, perkara ini telah dibawa oleh anggota-anggota DAP sendiri dan dibangkitkan dari dulu lagi tetapi pucuk pemimpin mereka berdiam diri," katanya.
Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata DAP akan mengadakan mesyuarat dengan RoS berhubung arahan supaya parti itu mengadakan pemilihan semula CEC selepas menerima surat rasmi daripada jabatan tersebut.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata soal pemilihan semula CEC tidak timbul kerana DAP telah mengadakan pemilihan semula CEC pada September 2013 dan keputusan pemilihan telah dikemukakan kepada RoS pada November 2013.
Pada Jumaat lalu, Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata pendaftaran DAP tidak akan dibatalkan namun parti itu perlu mengadakan pemilihan semula bagi 20 anggota CEC susulan aduan oleh beberapa anggota parti yang mendakwa berlaku manipulasi dalam pemilihan semula pada September 2013.
Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya Hishammuddin berkata anggota UMNO perlu meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu sebelum menyanjung seseorang individu atau bekas pemimpin parti yang telah meninggalkan parti.
Ini kerana katanya ada dalam kalangan mereka yang tersasar jauh daripada matlamat asal UMNO iaitu memperjuangkan nasib dan perpaduan orang Melayu.
"Kita baru sahaja menyambut sambutan ulang tahun UMNO ke-71, kita tidak akan mampu bertahan sehingga hari ini sekiranya kita terlalu 'personality-centric' (bertumpu kepada individu), matlamat besar kita adalah kebaikan bangsa melayu dan bukannya terhadap individu," katanya.
-- BERNAMA