Enggan Patuhi Arahan Cerminkan DAP Tidak Junjung Ketelusan - Gerakan




TELUK INTAN, 9 Julai (Bernama) -- Keengganan DAP mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) agar diadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEC) menunjukkan parti itu tidak menjunjung prinsip ketelusan, kata Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata perbuatan mereka juga menunjukkan DAP sebuah parti yang bongkak dan enggan mengakui kesalahan sendiri.

"DAP patutnya patuhlah undang-undang (arahan RoS) untuk pemilihan semula, tidak ada istilah merasakan diri mereka itu special (istimewa). Begitu juga dengan mana-mana parti politik lain juga," katanya kepada pemberita pada majlis Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 penerima bantuan kebajikan kawasan Teluk Intan, di sini hari ini.

Mah turut tidak menolak kemungkinan DAP akan menggunakan peluang ini untuk menuding jari kepada kerajaan Barisan Nasional sebagai bertanggungjawab terhadap masalah mereka.

"DAP ingkar undang-undang tapi orang merekalah yang kuat complaint (merungut) dan tidak puas hati. Tengoklah diri sendiri dahulu," kata Anggota Parlimen Teluk Intan itu.

Semalam, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mempertikaikan arahan RoS apabila bertegas tidak akan mengadakan pemilihan semula CEC yang baharu atas alasan parti itu telah berbuat demikian pada 29 Sept 2013.

Lim membuat kenyataan itu susulan laporan yang memetik Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah sebagai berkata bahawa jabatan tersebut akan meminta DAP mengadakan pemilihan semula CECnya selepas mendapati pemilihan semula pada 29 Sept 2013 tersebut tidak sah, berdasarkan aduan daripada anggota parti itu sendiri.

Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Dis 2012, iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.

Dalam pada itu Mah yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata Pusat Khidmat Parlimen Teluk Intan dengan kerjasama Kementerian Kewangan akan membawa Pusat Transformasi Komuniti Bergerak ke Majlis Rumah Terbuka Daerah Hilir Perak, bertempat di Menara Condong Teluk Intan pada Ahad depan.

Program bermula dari 9 pagi hingga 3 petang dan disertai sebanyak 18 agensi kerajaan termasuk doktor pakar dari Institut Jantung Negara akan dibawa bagi memberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada orang ramai.

Di TEMERLOH, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata DAP perlu mematuhi arahan ROS supaya mengadakan pemilihan semula CEC dan perlu berjumpa dengan agensi berkenaan untuk berbincang menyelesaikan masalah itu.

"Isu sekarang ialah ROS telah mengeluarkan surat mengatakan bahawa parti DAP perlu membuat mesyarat semula. Semalam saya tengok ada kenyataan akhbar daripada DAP bahawa mereka sudah buat pada 2013, kini berlaku pertikaian antara mereka dan ROS.

"Jadi biarlah mereka jumpa ROS, sekurang-kurangnya mereka mesti tahu kenapa mesyuarat mereka tidak diiktiraf," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Temerloh di Dewan Sri Mentakab di sini Ahad.

Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata UMNO juga pernah mengalami situasi ini suatu masa dahulu namun parti itu terpaksa mengikut segala peraturan yang ditetapkan ROS.

"Kita tengok UMNO, bila ada isu dari segi pendaftaran kita diarah buat balik semula. Kita perlu batal banyak benda untuk ikut undang-undang, sama ada siapa betul atau salah, komunikasi yang betul perlu dilakukan," katanya.

Di KAMPUNG GAJAH, Perak, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun mengingatkan DAP agar tidak berdolak dalih dan segera mematuhi arahan RoS supaya mengadakan pemilihan semula CEC.

Menurutnya, arahan RoS itu itu tidak didalangi UMNO tetapi berdasarkan kepada aduan anggota parti itu yang tidak berpuas hati dengan pemilihan CEC terbabit.

"Kenapa DAP nak menyalahkan UMNO walhal masalah ini melibatkan antara pemimpin dan ahli mereka. Aduan terhadap CEC ini juga dibuat ahli DAP sendiri yang nyata tidak berpuas hati dengan cara pemilihan itu dilaksanakan," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2017 di sini.

Beliau berkata tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang mempertikaikan secara terbuka arahan ROS itu membuktikan bahawa berlaku krisis dalaman membabitkan parti terbabit.

-- BERNAMA