Jentera BN Sabah Sentiasa Pertingkat Strategi Tangkis Serangan Pembangkang




SEMPORNA, 9 Julai (Bernama) -- Jentera Barisan Nasional (BN) Sabah sentiasa bekerja keras dan menambah baik strategi supaya berkesan dalam membantu pelbagai lapisan rakyat, sekali gus menangkis serangan daripada pembangkang, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban.

"Kerja-kerja yang kita lakukan ketika ini adalah berterusan dan menjurus kepada hasrat kerajaan untuk membantu rakyat dan kerja ini teratur namun boleh ditambah baik lagi dan diperhalusi mengikut keadaan semasa," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ramlee, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bugaya, turut menyelar tindakan pembangkang yang sengaja mewujudkan suasana panas menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 dengan memanipulasi perkara terutamanya berkaitan ekonomi.

Katanya pembangkang memainkan isu ekonomi seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), 1MDB, susut nilai ringgit, dan cukai pelancongan, padahal kesemuanya berada di landasan yang betul, dikaji dan diterima pakai oleh kerana perkara berkaitan ekonomi telah pun diluluskan di parlimen.

Mengenai pemilihan calon pada pilihan raya umum kelak, Ramlee berkata pucuk pimpinan akan memilih calon terbaik dan semestinya calon itu memiliki ciri termasuk boleh menang serta diterima masyarakat negeri ini.

-- BERNAMA