UMNO Pendang Yakin Rampas DUN Tokai
PENDANG, 9 Julai (Bernama) -- UMNO Bahagian Pendang yakin dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang sementara merampas DUN Tokai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Shafian berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan yang tidak berbelah bahagi pengundi terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam majlis-majlis dan program yang dianjurkan sebelum ini.
"Kita tak nampak ada kekurangan atau masalah di kalangan pengundi yang menyokong kita selama ini dan kalau kita nak ukur kehadiran orang ramai pada majlis majlis, ia luar biasa dan ini petanda orang masih menyokong kita," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pendang di sini, hari ini.
Hadir sama, Anggota Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul serta kepimpinan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO bahagian itu.
Katanya, masyarakat minoriti Siamdi kawasan itu juga masih utuh menyokong BN kerana masyarakat itu tahu parti mana yang boleh membantu dan membela mereka .
Bagi menghadapi PRU14, Mohd Rozai berkata UMNO Pendang akan menggariskan beberapa perancangan dan strategik bagi menjaga kepentingan ahli dan pengundi di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Othman berkata, banyak isu telah berjaya di selesaikan termasuk pembinaan Hospital Pendang yang tendernya akan dibuka pada September ini serta kemudahan jalan yang berturap.
Pada PRU13 lepas, Othman mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 2,638 undi untuk kerusi Parlimen Pendang, DUN Sungai Tiang dimenangi oleh calon BN, Datuk Suraya Yaacob dengan majoriti 6,944 undi manakala calon PAS, Datuk Mohd Taulan Mat Rasul memenangi kerusi DUN Tokai dengan majoriti 5,833 undi.
-- BERNAMA