Puteri UMNO Perlu Fokus Tambah Anggota - Naib Ketua Puteri
PADANG BESAR, 9 Julai (Bernama) -- Puteri UMNO perlu fokus bagi mencapai misi menarik 100,000 lagi golongan muda menganggotainya menjelang akhir tahun ini bagi memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Naib Ketuanya Datuk Zahida Zarik Khan.
Beliau berkata sasaran itu yang akan menjadikan keanggotaan Puteri UMNO berjumlah 500,000 orang tidak mustahil berikutan gerak kerja, kempen keanggotaan dan daftar pemilih bermula sejak awal tahun.
"Momentum yang bermula dengan baik ini hendaklah ditingkatkan," kata Zahida kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar di Dewan Kemas Alor Tampang, di sini hari ini.
Zahida berkata dalam usaha menarik ahli baharu, Puteri UMNO perlu memberi keutamaan pada pengundi yang pertama kali mendaftar sebagai pengundi untuk memilih BN.
"Saya dapati masih ada ahli Puteri yang mendaftar sebagai ahli Puteri tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih. Perkembangan ini merugikan UMNO kerana bangsa lain apabila cukup umur 21 tahun mereka berpusu-pusu pergi mendaftar supaya layak mengundi.
"Kelemahan seperti ini memudaratkan bangsa dan negara. Jadi, saya mahu setiap Puteri UMNO turun sehingga ke akar umbi dan mendaftar seramai mungkin pengundi baharu," katanya.
-- BERNAMA