Zambry Nafi ADUN Kubu Gajah Mahu Lompat Parti




IPOH, 10 Jul (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini menyangkal desas-desus Anggota Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah Ahmad Hasbullah Alias tidak mahu bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana mahu menyertai parti lain.

Sebaliknya kata Zambry beliau difahamkan wakil rakyat itu masih sayangkan UMNO namun mahu bersara.

"Beliau tidak memaklumkan kepada saya secara rasmi, cuma beliau memikirkan masa untuk berkhidmat sudah sampai ke penghujungnya... seperti saya umumkan sebelum ini ada dalam kalangan Ahli Berhormat menyatakan hasrat untuk tidak bertanding," katanya kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung menerusi Radio PerakFM, di sini hari ini.

Ditanya sama ada Barisan Nasional akan memujuk Ahmad Hasbullah agar mengubah keputusannya memandangkan beliau calon popular, Zambry berkata pihaknya akan menimbang perkara itu dari semua aspek.

"Saya tidak boleh komen kerana saya belum berjumpa dengan dia tetapi kita akan melihat dari semua aspek. Apa yang lebih penting ialah dia sudah menyatakan hasratnya dan kita berterima kasih atas perkara itu," katanya.

Semalam, Ahmad Hasbullah, 51, menyatakan keputusannya untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kerana ingin memberi laluan kepada pemimpin baharu untuk bertanding.

Ahmad Hasbullah yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Kubu Gajah sejak PRU-13 berkata setakat ini beliau tidak mempunyai perancangan dan akan berehat seketika.

-- BERNAMA