DAP Tidak Perlu Takut Patuhi Peraturan RoS - Mohd Amar
KOTA BHARU, 11 Julai (Bernama) -- DAP tidak perlu takut untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu seperti yang diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) melainkan jika parti itu mempunyai masalah dalaman.
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata DAP sepatutnya mematuhi peraturan yang ditetapkan atau perlu bersedia menanggung implikasi daripada keengganannya melakukan pemilihan semula.
"Kalau DAP tidak mahu membuat pemilihan semula atau ingkar mereka perlu bertanggungjawab dengan RoS. Kalau ada apa-apa implikasi selepas itu kena tanggunglah.
"Pada pandangan saya, eloklah DAP ikut permintaan RoS kerana negara kita ada undang-undang. Apa yang hendak ditakutkan pada pemilihan semula kalau tiada masalah dalaman," katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Jumaat lepas, Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan sebagai berkata jabatan itu akan mengeluarkan arahan meminta DAP mengadakan pemilihan semula CEC kerana RoS mendapati pelantikan 20 anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti itu hasil pemilihan semula pada 29 Sept 2013 tidak sah dari segi undang-undang.
-- BERNAMA