Salang Pertahan Kerusi Julau Pada PRU14 - Masing
JULAU, 11 Julai (Bernama) -- Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing mengulangi bahawa Anggota Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum akan mempertahankan kerusi yang diwakilinya itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Masing, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri masih memerlukan sumbangan Salang.
"Berikutan langkahnya memberi restu mengenai perkara itu, Masing berharap pengundi kawasan Julau sekali lagi akan memainkan peranan mereka dengan memberi sokongan penuih kepada Salang, 67, PRS dan BN.
PRS tidak mengemukakan nama calon lain bagi Julau. Sepatutnya tidak ada lagi kekeliruan atau individu menimbulkan isu ini, "kata beliau pada majlis Pemimpin Bersama rakyat di Rumah John Okin di Nanga Meluan di sini Selasa.
Pada pilihan raya umum yang lepas, anggota parlimen empat penggal itu menang dengan majoriti 5,955 undi dalam pertandingan tiga penjuru menewaskan calon Parti Pekerja Sarawak (SWP) Wong Judat dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Andy Wong Hong Yu.
Mengenai permintaan supaya kerajaan mempertimbangkan pembinaan jambatan Sungai Kanowit/Mujok yang akan membuka lebih banyak kawasan untuk pembangunan, beliau berkata ada cadangan untuk membina jambatan yang menelan belanja RM25 juta.
"Saya perlu mencari dana kerana jambatan sepanjang 120 meter ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 penduduk dari 14 rumah panjang termasuk dua buah sekolah dan sebuah klinik kesihatan," kata Masing.
Pada majlis itu, beliau diiringi oleh Salang, Menteri Muda Industri dan Pelaburan Malcolm Mussen Lamoh, anggota parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan anggota Dewan Undangan Negeri Tamin Christopher Gira.
-- BERNAMA