Wanita UMNO Perlis Tolak Calon 'Payung Terjun' Untuk PRU-14




KANGAR, 13 Julai (Bernama) -- Pergerakan Wanita UMNO Perlis menyokong penuh saranan Ketua Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim supaya pucuk pimpinan parti tidak meletakkan calon 'Payung terjun' untuk bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketuanya Rela Ahmad berkata kepimpinan pusat juga tidak perlu mengimport orang luar atau yang tidak aktif dalam parti untuk menjadi calon di Perlis.

"Kenapa perlu ambil mereka (orang luar atau yang tidak aktif) sedangkan terdapat banyak pemimpin lain di peringkat bahagian dan cawangan yang bertungkus-lumus memperjuangkan parti dan diterima oleh masyatakat," katanya.

Rela mengulas kenyataan Shahidan baru-baru ini bahawa UMNO Perlis ?mengharamkan' calon payung terjun untuk bertanding dalam PRU-14 kerana menjadi beban kepada parti selain tidak adil kepada mereka yang bekerja keras melaksanakan pelbagai program parti dan sentiasa turun padang.

"Saya berharap pucuk pimpinan parti mengambil kira pandangan ahli akar umbi agar peluang Barisan Nasional memenangi piliharan bertambah cerah," katanya.

Katanya Shahidan yang turut memberi peluang kepada lebih ramai calon wanita untuk dipilih menjadi calon adalah positif kerana sayap Wanita banyak menyumbang kepada kejayaan UMNO.

Perlis mempunyai dua anggota dewan undangan negeri wanita iaitu Asmaiza Ahmad (DUN Chuping) dan Rela (DUN Bintong), kedua-duanya daripada UMNO.

Kedua-duanya juga anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

-- BERNAMA