Manual PRU14 UMNO Siap - Hishammuddin
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bergambar dengan para Perwakilan selepas perasmian Persidangan UMNO Bahagian Lenggong
LENGGONG, 16 Julai (Bernama) -- UMNO telah menyiapkan manual khas sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seterusnya memastikan kemenangan parti dan Barisan Nasional.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata manual itu antara lain akan memberi tumpuan kepada pengundi muda di semua bahagian kerana dibimbangi mereka mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan di media sosial.
"Selain itu, kita juga akan berusaha untuk mendekati, golongan veteran tentera, guru serta peneroka Felda agar mereka dapat membuat keputusan mengundi berdasarkan fakta.
"Kerana dekat-dekat PRU14 nanti, macam-macam perkara akan dibangkitkan dan kadang kala tiada masa untuk menanganinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup persidangan perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di sini, hari ini.
Hishammuddin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Manual PRU14 berkata pihaknya telah mengadakan beberapa siri bengkel bagi menjelaskan tentang manual itu dan pelaksanaannya akan digerakkan dalam satu pasukan.
"Saya tidak akan turun secara bersendirian tetapi bersama dengan Pergerakan Wanita, Jentera Jalinan Rakyat serta sayap-sayap parti," katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata rakyat perlu sedar bahawa PRU14 bukan sekadar menentukan landskap politik tanah air, tetapi ia berkait rapat dengan keselamatan serta keamanan negara terutama dalam dunia yang semakin mencabar sekarang.
Katanya, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Bahrain bagi berkongsi maklumat mengenai cara menangani keganasan di negara berkenaan.
"Perkongsian maklumat mengenai risik amat penting supaya apa yang berlaku (di Asia Barat) tidak menular di sini kerana petanda telah wujud misalnya di Mindanao, selatan Filipina.
"Kalau senario politik tidak mantap, akhirnya apa yang dirancang tidak akan menjadi dan rakyat akan marah, menunding jari pada orang lain dan akhirnya rakyat menangis di negara sendiri," katanya.
-- BERNAMA