Jangan Berpecah Kerana Politik - Othman Aziz




JERLUN, 16 Julai (Bernama) -- Rakyat khususnya pengundi di Parlimen Jerlun diingatkan supaya tidak berpecah dan merosakkan perpaduan yang dibina sejak sekian lama hanya kerana hanyut dalam keghairahan berpolitik, lebih-lebih lagi dengan adanya parti baharu.

Anggota Parlimen Jerlun merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Othman Aziz berkata walaupun negara mengamalkan demokrasi dengan adanya kebebasan menyokong mana-mana parti, namun rakyat tidak harus leka dengan janji-janji manis parti pembangkang sehingga tersilap membuat keputusan.

"Saya yakin rakyat faham bahawa UMNO sentiasa berdampingan dengan mereka dan mendengar masalah amat," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilifitri Anggota Parlimen Jerlun dan UMNO Bahagian Jerlun di Pekan Sehari Ayer Hitam di sini, hari ini.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kehadiran lebih 15,000 penduduk pada majlis itu merupakan manifestasi bahawa rakyat Jerlun sentiasa mengutamakan kesatuan dan kebersamaan walaupun berbilang-bilang kaum.

"Saya amat berbangga apabila kita melihat hak kebersamaan 'Jerlun untuk Jerlun' dapat diterjemahkan tanpa mengira kaum, agama, keturunan dan latar belakang politik," katanya.

-- BERNAMA