Mahathir 'Berbaik' Dengan Anwar Demi Misi Peribadi - Hassan
ROMPIN, 16 Julai (Bernama) -- Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup menggadai prinsip perjuangannya dengan kembali menyokong 'musuh'nya Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai langkah untuk menjayakan cita-cita peribadi dan politiknya.
Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Seri Hassan Ariffin berkata perkara itu bukannya pelik kerana sejarah perjuangan Dr Mahathir membuktikan pemimpin itu sanggup melakukan apa sahaja termasuk bersengkongkol dengan DAP, yang sebelum ini merupakan musuh ketatnya.
"Sehingga sekarang, kita dapat lihat dengan jelas niatnya itu...walau terpaksa mengkhianati UMNO, bersengkongkol dengan DAP dan buat pusingan 'U' dengan menyokong orang yang pernah beliau hina dan buang dahulu (Anwar).
"Sehubungan itu, anggota UMNO sepatutnya bijak menilai melalui sejarah dan langkah serta tindakan yang diambil oleh Dr Mahathir sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Rompin di Dewan Angkat Berat di sini hari ini.
Sementara itu, Hassan meminta jentera UMNO Rompin supaya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada bila-bila masa bagi mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.
Beliau meminta kepimpinan bahagian dan cawangan supaya mengenal pasti segala masalah yang dihadapi di kawasan dewan undangan negeri itu secara khusus dan menyelesaikannya dengan segera.
"Aktiviti turun padang mendekati pengundi perlu diperhebat selain berusaha mengatasi apa jua isu yang timbul untuk memastikan kepercayaan mereka mampu diraih kembali," katanya.
-- BERNAMA