UMNO Ketereh Jangka Lebih 10,000 Hadir Majlis Mesra Bersama OPT




KOTA BHARU, 16 Julai (Bernama) -- UMNO Bahagian Ketereh menjangkakan lebih 10,000 orang akan menghadiri majlis Mesra Bersama OPT (Orang Parlimen Terre) yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) Padang Kala, Melor Jumaat ini.

Ketua Penerangan UMNO bahagian Ketereh Termizi Musa berkata Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO dijangka tiba pada pukul 8.30 pagi, dan akan disambut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

"Timbalan Perdana Menteri akan diiringi dengan konvoi 500 motosikal yang akan membawa bendera dan panji-panji sebelum beliau diarak masuk ke Kompleks YKK sebagai pahlawan Melayu dengan didahului pahlawan membawa senaskhah al-Quran bertulisan tangan, keris Melayu lama, 100 orang pembawa pulut semangat berserta bacaan selawat.

"Ahmad Zahid akan menyampaikan pidato perdana manakala Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO akan menyampaikan pidato khas," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Termizi berkata selain itu Timbalan Perdana Menteri juga dijadual melancarkan gimik majlis Ketereh Koridor Ilmu serta menyampaikan anugerah penghargaan kepada 100 tokoh daripada 25 kategori berlainan merangkumi pendidikan, agama, usahawan, budaya, perajurit, masyarakat Melayu, Thailand dan Cina serta perubatan tradisional.

-- BERNAMA