Anggota Puteri Diminta Kerja Keras Bantu Kemenangan BN Dalam PRU14




KUANTAN, 16 Julai (Bernama) -- Naib ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarikh Khan menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah 'ibu kepada segala pilihan raya' yang memerlukan semua anggota UMNO termasuk Puteri bekerja keras untuk memenanginya.

Zahida berkata waktu kini bukan lagi zaman UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu menang mudah dalam PRU tanpa perlu bekerja keras untuk berhadapan dengan pembangkang.

"Zaman itu sudah berakhir, pada masa kini parti diasak daripada pelbagai penjuru termasuk melalui media sosial yang memerlukan kita untuk menangkisnya dengan baik. Sikap pengundi juga sudah jauh berbeza berbanding dahulu."

"Dahulu mereka hanya mendapat maklumat melalui media tradisional, namun sekarang media baru mendominasi kehidupan rakyat kita menyebabkan berita yang tidak benar mudah tersebar dan ini memerlukan kita bertindak pantas dan bekerja keras menangani dakyah-dakyah buruk mengenai parti," katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Paya Besar di Dewan Felda Panching Timur di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Paya Besar Farizah Mat Firu.

Sehubungan itu, kata Zahida semua anggota Puteri diminta memperkemaskan jentera dengan memainkan peranan yang lebih matang untuk membantu UMNO dan BN termasuk menarik lebih ramai golongan wanita muda menyertai parti.

"Kita mahu anggota Puteri bertindak pantas dan bijak agar tidak ketinggalan untuk membantu parti - kita tidak mahu anggota Puteri hanya dilihat sebagai pemegang bunga manggar atau pemegang laptop di luar kawasan mengundi," katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menyeru semua pergerakan Puteri di setiap bahagian supaya memastikan semua anggota yang telah cukup umur mendaftar sebagai pemilih untuk melayakkan mereka mengundi.

"Pada masa kini kita mempunyai seramai 400,000 anggota Puteri di seluruh negara dan 80 peratus daripadanya layak untuk mengundi.

"Tetapi kita dapati masih ada di kalangan mereka yang tidak mendaftar sebagai pemilih walaupun mereka layak berbuat demikian," katanya.

-- BERNAMA