Puteri UMNO Kedah Digesa Berada Dalam Keadaan Siap Siaga
ALOR SETAR, 21 Julai (Bernama) -- Pergerakan Puteri UMNO Kedah di gesa agar sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk membantu jentera Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan berkata, anggota Puteri di negeri ini sepatutnya sudah memasuki 'mod perang' untuk kembali merampas kerusi yang ditawan pembangkang.
"Dengan pelbagai drama politik yang berlaku, sudah masanya perwakilan-perwakilan yang ada di sini berada dalam keadaa siap siaga.
"Mereka perlu lebih kreatif, pantas dan bijak dalam merancang untuk menyaingi langkah lawan dalam menghadapi pilihan raya nanti," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini hari ini.
Di samping itu, Zahida turut menyeru agar perwakilan Puteri UMNO menjadi pendamai sekiranya berlaku kerenggangan dalam kepimpinan Barisan Nasional di kawasan mereka.
Katanya, sebagai adik bongsu dalam keluarga UMNO, sudah menjadi tanggungjawab Puteri bertindak sebagai penghubung dalam usaha memastikan tiada keretakan yang berlaku di antara ahli.
"Zaman menang pilihan raya dengan mudah sudah berlalu buat BN dan kita perlu akui hakikat ini. Justeru, kunci utama untuk memastikan kecemerlangan parti ini kekal adalah kerjasama dan hubungan baik antara ahlinya," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian UMNO Kuala Kedah, Datuk Wira Abdullah Hasnan berkata, perwakilan di Kuala Kedah perlu menggunakan formula calon popular jika mahu kembali merampas keempat-empat kerusi yang mereka tewas tersebut.
Pada pilihan raya umum 2013, kerusi Parlimen Kuala Kedah, Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Pengkalan Kundor dan Kubang Rotan jatuh ke tangan pembangkang,
"Meletakkan calon bidan terjun pada zaman sekarang sudah tidak relevan. Calon tak semestinya ada jawatan kerana apa yang penting adalah individu tersebut sangat dekat dengan penduduk setempat.
"Kita sudah melihat keberkesanan formula ini di beberapa pilihan raya kecil di mana, calon yang bertanding adalah mereka yang dikenali di kawasan tersebut dan mereka menang dalam pemilihan tersebut," katanya yang hadir sebagai pemerhati.
-- BERNAMA