Sahidan Nafi Pakatan Serah DUN Kepada BN, Parlimen Kepada Pembangkang




Oleh Zainal Abdul Jalil

ARAU, 22 Julai (Bernama) -- Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menasihati penyokong Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, agar berhati-hati dengan usaha pembangkang yang didapati menguar-uarkan agenda agar pengundi menyerahkan kerusi dewan undangan negeri kepada BN dan parlimen kepada mereka.

"Mereka (pembangkang) turut memuat naik gambar pemimpin UMNO dalam media sosial untuk menyokong pakatan itu. Ini tidak betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Arau, di sini Sabtu.

Katanya isu itu sengaja dimainkan oleh pembangkang dalam usaha mereka menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Pada masa sama, Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri meminta pembangkang agar memilih isu yang berkepentingan rakyat dan bukan mempolitikkan kisah-kisah jenayah serta agama dengan tujuan merosakkan nama pemimpin UMNO.

"Nak lawan dalam politik, eloklah pilih isu yang ada nilai dan kepentingan rakyat," katanya.

Sementara itu, Shahidan meminta Wanita UMNO mendampingi golongan muda dan bekerja lebih keras mendaftar pengundi baharu.

Beliau memberi contoh program berjalan kaki menemui rakyat yang dilaksanakannya sejak sekian lama telah memudahkan beliau bertemu hampir setiap lapisan masyarakat dan menziarahi keluarga yang memerlukan bagi menghulurkan bantuan.

-- BERNAMA