Wanita Umno Sepanggar Sokong Penuh Kepimpinan Najib
KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Wanita UMNO Bahagian Sepanggar hari ini menzahirkan sokongan sepenuhnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), kata Ketuanya Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Beliau berkata sokongan tidak berbelah bagi itu bertujuan untuk mempertahankan agar Najib terus memimpin negara.
"Kita juga menzahirkan sokongan penuh kepada Datuk Seri Musa Aman sebagai Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dan juga kepada Tan Sri Shahrizat Abd Jalil untuk menerajui kepimpinan Ketua Pegerakan Wanita UMNO Malaysia," katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sepanggar di sini, hari ini.
Persidangan itu dirasmikan anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Sementara itu, Jainab meminta agar semua anggota wanita UMNO Sepanggar tidak mudah terperdaya dengan pembangkang.
"Mereka datang dan pergi seperti cendawan. Mereka memburuk-burukkan kerajaan yang pernah mereka jadikan rumah dan tempat berteduh satu ketika dahulu, kerana perselisihan dan tidak menerima pucuk pimpinan, mereka sengaja menabur fitnah.
"Oleh itu, saya ingatkan semua anggota wanita UMNO Sepanggar tidak menjadi seorang daripada mereka. Kita perlu berjanji untuk terus memperkasakan usaha ke arah menambat hati rakyat dan mementukan sokongan tidak berubah kepada kerajaan yeng memerintah kini," katanya.
Jainab juga berkata berkata UMNO Sepanggar berjanji akan terus menjadi tulang belakang kepada parti khususnya menjelang pilihan raya.
"Kekuatan parti harus bermula daripada kekuatan tulang belakangnya. Oleh sebab itu, wanita UMNO harus menanan iltizam dalam diri untuk memperkukuhkan semangat dan kerjasama dalam parti," katanya.
-- BERNAMA