UMNO Sasar 150,000 Anggota Muat Turun 'Malaysia 4 All'




ALOR GAJAH, 22 Julai (Bernama) --UMNO menyasarkan seramai 150,000 anggotanya memuat turun aplikasi 'Malaysia 4 All' bagi memperoleh maklumat sahih terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14, kata Setiausaha Kerjanya Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata aplikasi itu semakin diterima sebagai wadah memperoleh maklumat tepat apabila pada masa ini kira-kira 100,000 anggota parti itu telah memuat turun.

Katanya secara tidak langsung aplikasi yang dibangunkan bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu dapat membendung pembohongan dan fitnah yang sering dilemparkan pembangkang bagi mengelirukan rakyat.

"Selain itu, menjelang PRU-14, aplikasi berkenaan boleh digunakan bagi menggerakkan jentera parti di semua peringkat pusat daerah mengundi seluruh negara termasuk menyalurkan maklumat mengenai jumlah pengundi yang telah keluar mengundi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri di kediamannya di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron serta lebih 10,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan agama.



Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Ketua Bahagian UMNO Masjid Tanah berkata aplikasi itu hanya boleh diakses oleh anggota Umno yang berdaftar, tetapi sedang dalam perancangan untuk diperluaskan kepada orang ramai selepas ini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata UMNO tidak akan sama sekali terjejas sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan bertanding pada PRU Ke-14, kerana era kegemilangan bekas perdana menteri itu telah berakhir.

"Keputusan beliau tidak boleh diambil kira sama ada untuk membetulkan keadaan mahupun memburukkan sesuatu keadaan. Beliau juga dilihat mempunyai banyak muslihat sama ada tersirat atau pun tersurat. Kita sebagai anggota UMNO perlu fokus teruskan perjuangan dalam membela nasib orang Melayu," katanya.

Ab Rauf menyeru semua anggota UMNO agar mempertahankan parti itu bagi mengekalkan kemenangan Barisan Nasional di samping bangkit menangkis pelbagai cabaran dalam menghadapi PRU Ke-14.

-- BERNAMA