Puteri UMNO Mohon Tambah Calon Wanita Bagi PRU14
RAUB, 22 Julai (Bernama) --Puteri UMNO berharap bilangan calon wanita yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan ditambah selari dengan senario politik semasa serta memenuhi aspirasi golongan pengundi muda.
Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata perkara itu telah disuarakan kepada presiden parti merangkap pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia sedang dipertimbangkan.
Justeru, beliau berharap permohonan mereka dapat direalisasikan kerana pihak pembangkang turut mengambil pendekatan menampilkan calon wanita dengan sasaran 30 peratus calon pembangkang terdiri daripada kaum wanita.
"Kita suarakan permohonan ini untuk golongan wanita dan ia suara yang sama iaitu Wanita UMNO dan Puteri UMNO," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Raub, di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, beliau meminta ahli parti supaya menghentikan program 'syok sendiri' tetapi menganjurkan program mendekati pengundi ke arah PRU14.
-- BERNAMA