UMNO Teruskan Gerak Kerja Telus, Ikhlas - Abdul Azeez




YAN, 22 Julai (Bernama) --Parti keramat UMNO akan meneruskan gerak kerja yang telus dan ikhlas, dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai parti mana yang boleh membela nasib mereka, dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, barisan kepimpinan dan ahli UMNO tidak akan melayan sebarang tohmahan yang mendakwa UMNO akan melakukan penipuan demi memenangi PRU.

"Kita dalam UMNO, akan meneruskan gerak kerja yang telus, iklhas, malah kita yakin dan percaya rakyat di luar bandar dan bandar sudah cerdik serta boleh menilai kerajaan dan parti mana yang boleh membela dan memberi manfaat kepada mereka.

"Tohmahan sebegitu tidak perlu dilayan, belum PRU sudah menuduh Presiden UMNO mahu menipu.

"Bagi saya kalau orang bersangka tidak baik sebenarnya mereka yang ada niat tidak baik, dan kita di dalam UMNO sentiasa bersangka baik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerai di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Jerai yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Abdul Azeez diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang disiarkan sebuah portal, bahawa Pakatan Harapan berupaya memenangi PRU akan datang namun mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan penipuan bagi mengekalkan kuasanya.

Abdul Azeez berkata, dengan dunia yang semakin canggih, rakyat tidak akan mudah tertipu.

"Cukup-cukuplah dengan cara politik, polimik dan pemikiran lama, 'that is old school', hari ini duduk di rumah pun boleh tahu berapa undi menang, peti undi mana menang, tak mungkin boleh tipu," katanya.

Pada majlis sama, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Daftar Pemilih dan Keahlian UMNO, berkata, beliau meletakkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bahawa

Parlimen Jerai berupaya memperoleh majoriti 8,000 undi dalam PRU ke-14. "Kita letak KPI untuk menang di tiga Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Jerai, saya yakin dengan muafakat sayap-sayap dibantu ketua UMNO bahagian, kita dapat capai majoriti 8,000 dan kita akan usaha ke arah itu," katanya.

-- BERNAMA