BN Sedia Satu Manifesto Khusus Untuk Pulau Pinang - Salleh
BUKIT MERTAJAM, 23 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan menyediakan manifesto khusus untuk Pulau Pinang bagi memberi peluang kepada rakyat di negeri ini memilih, sama ada BN atau Pakatan Harapan, pada pilihan raya umum ke-14.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata BN negeri juga akan menggariskan beberapa dasar dan program-program yang akan dilaksanakan di Pulau Pinang jika parti itu diberi mandat untuk mentadbir negeri ini.
"Sembilan tahun DAP memerintah negeri ini, sebanyak 51 janji kepada rakyat dan mereka diberi peluang untuk menilai. Sudah tentu rakyat diberi peluang untuk mengkaji dan melihat sama ada kerajaan negeri sudah tunaikan atau tidak janji-janji tersebut.
"Rakyat harus diberi peluang untuk memilih. Kita ingin mengamalkan satu politik yang sihat. Kita akan menawarkan satu janji kepada rakyat Pulau Pinang dan biar rakyat membuat pilihan. Mereka akan melihat kelemahan yang berlaku. Kita mahu bersaing secara sihat, rakyat yang akan tentukan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam, di sini Ahad.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Beliau berkata antara dasar dan program yang akan dimasukkan dalam manifesto itu termasuk membangunkan kawasan luar bandar dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini.
"Sudah tentu kita akan lihat apakah kelemahan yang berlaku di negeri ini ketika ini. Tujuan kita adalah untuk melihat negeri ini lebih stabil. Malaysia dipimpin oleh BN dan kita mahu kerajaan negeri yang selari dengan kepimpinan kerajaan pusat.
"Jika BN boleh berkuasa semula, kita akan menikmati kerjasama yang lebih rapat lagi antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Apa pun yang penting peluang-peluang itu dapat disediakan dan dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.
Ditanya bila manifesto itu akan dilancarkan, Salleh berkata pihaknya menyerahkan kepada BN negeri untuk melihat dan berbincang dengan BN pusat terlebih dahulu sebelum mengumumkannya kepada rakyat.
Terdahulu, berucap merasmikan persidangan itu, Salleh yang juga Bendahari UMNO mengingatkan pemimpin parti itu agar jangan sombong, berlagak dan lokek (kedekut) bagi memastikan UMNO terus diterima rakyat.
Beliau berkata pemimpin bukan hanya sekadar turun padang sahaja, sebaliknya mereka perlu 'menguruskan padang' dengan mendengar masalah rakyat seterusnya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu.
"Jawatan ini adalah amanah, macam mana kita boleh katakan kita berjuang untuk bangsa, agama dan negara. Kita kena telus kalau kita boleh bantu, kita cakap boleh bantu. Kalau kita rajin sikit mengurus padang mendengar permasalahan rakyat, Insya-Allah rakyat akan bersama kita," katanya.
Mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti dan bersengkongkol dengan DAP, Salleh berkata: "Tun Dr Mahathir pergi (tinggalkan parti) biarkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pergi biarkan. Pemimpin datang dan pergi. Parti, yang perlu dipertahankan secara berterusan".
-- BERNAMA