MIC Kota Kinabalu Mahu Pengerusi Negeri Dilantik Sebagai Senator




KOTA KINABALU, 23 Julai (Bernama) -- MIC Bahagian Kota Kinabalu hari ini meluluskan resolusi agar pengerusi parti itu di negeri ini, Datuk V Jothi, dilantik menjadi senator .

Naib presiden MIC Datuk T Mohan berkata beliau akan mengemukakan perkara itu kepada kepimpinan MIC untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.

"Datuk Jothi memang layak dilantik menjadi senator. Beliau telah banyak berjasa kepada masyarakat India di Sabah.

MIC berada di sini (Sabah) hari ini pun adalah kerana Datuk Jothi yang membawanya ke sini hampir 20 tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas persidangan MIC Bahagian Kota Kinabalu di sini Ahad.

Mohan berkata Jothi amat mahir tentang kebanyakan isu melibatkan masyarakat India di negeri ini, termasuk dilema tentang status penduduk tetap (PR) dalam kalangan mereka yang berhijrah dari semenanjung.

Beliau juga mencadangkan sebuah pusat sehenti ditubuhkan di Sabah bagi membantu anggota masyarakat India dari semenanjung, terutama pelajar dan penjawat awam yang ditukarkan ke negeri ini.

Mohan berkata oleh kerana jumlah anggota masyarakat India di Sabah terus meningkat, kepimpinan MIC bersetuju jumlah minimum anggota bagi setiap cawangan MIC dikurangkan daripada 50 kepada 30 agar lebih banyak cawangan parti itu boleh ditubuhkan di seluruh negeri ini.

Sementara itu, Jothi pula berkata MIC kini mempunyai kira-kira 3,000 anggota di Sabah dan usaha sedang dilakukan untuk menambah jumlah mereka.

Beliau juga berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman kerana memberi perhatian terhadap kira-kira 122 anggota masyarakat India yang memohon mendapatkan taraf PR di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan negeri akan mempercepatkan urusan memproses permohonan mereka memandangkan golongan itu adalah sebahagian daripada 202 orang India dari semenanjung yang datang ke Sabah melalui Lembaga Tabung Penghijrahan (MFB) pada 1968, tetapi belum mendapat status PR.

Jothi berkata kini terdapat kira-kira 12,000 anggota masyarakat India di Sabah dan kira-kira 4,000 daripada mereka adalah pengundi berdaftar bagi kawasan Parlimen dan negeri.

-- BERNAMA