Usaha UMNO, BN Bangunkan Negara Di Landasan Yang Betul - Mahdzir
SUNGAI BESAR, 23 Julai (Bernama) -- Usaha membangunkan negara yang dilakukan UMNO dengan sokongan rakan komponen Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lepas kekal berada di landasan yang betul.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ini dilihat melalui pelbagai perubahan dan pembangunan yang dikecapi rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai dasar meliputi aspek ekonomi, pendidikan dan sosiobudaya yang digubal kerajaan.
Sehubungan itu, beliau membidas kempen 'Jom Bina Semula Negara' anjuran pembangkang yang menunjukkan seolah-olah negara berada di landasan yang salah.
"Ketika merdeka dulu orang Melayu hanya bekerja sebagai petani, nelayan dan penoreh getah. Kini masyarakat sama sudah melahirkan golongan profesional dan pemimpin negara.
"Jadi mengapa pembangkang menyatakan negara harus dibangunkan semula?"kata Menteri Pendidikan itu yang menjadikan masyarakat Melayu sebagai contoh ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.
Malah, katanya, perancangan pelan Transformasi Negara 2050 (TN50) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilihat sebagai nilai tambah yang memberi gambaran bahawa masa depan negara akan menjadi lebih mantap dan cemerlang.
Mengulas hasrat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di Pekan, Pahang pada pilihan raya akan datang, Mahdzir berkata sebagai sebuah negara demokrasi, sesiapa saja boleh menyatakan keinginan masing-masing namun Dr Mahathir perlu lebih realistik dalam soal itu.
Tambahnya, kerusi Parlimen Pekan yang disandang Najib sejak sekian lama adalah bukti keutuhan sokongan pengundi kawasan itu terhadap presiden UMNO dan parti berkenaan.
Di Kuala Langat, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata Menteri Besar dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu sedar bahawa segala kemajuan dan kemudahan infrastruktur yang ada di Selangor telah dibina kerajaan Barisan Nasional dan UMNO sebelum PKR menerajui kerajaan negeri.
"Azmin tidak perlu berlagak. Di Selangor asas pembangunan yang kukuh telah dibina oleh kerajaan BN sebelum ini. Jika dia betul-betul ingat dia hebat sila jadi menteri besar di Kelantan,"katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Kuala Langat.
Annuar turut mencabar Mohammed Azmin untuk menyatakan sama ada beliau menerima serta bersetuju dengan dasar-dasar yang diperjuangkan DAP.
-- BERNAMA