UMNO, BN Bahagian Diingat Ambil Berat Kebajikan Anggota Keselamatan
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kepimpinan bahagian UMNO dan Barisan Nasional (BN) di seluruh negara diingatkan tidak lupa mengambil berat tentang kebajikan pengundi awal dalam kalangan anggota tentera dan polis bagi memastikan mereka terus memberi sokongan kepada kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata anggota parti yang merupakan wakil kepada kerajaan perlu memberi perhatian kepada keperluan anggota keselamatan berkenaan yang komited bertugas menjaga keamanan negara.
"Ada rumah anggota tentera dan polis yang daif, kita kena tengok juga ada anak-anak anggota keselamatan ini yang tidak dapat pergi kelas tuisyen dan sebagainya.
"Tolonglah beri perhatian dan ambil kepedulian kepada mereka ini seperti rakyat yang lain juga supaya mereka rasa dihargai,"kata Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden itu ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ketua UMNO bahagian, Tan Sri Zulhasnan Rafique.
Sambil menarik perhatian bahawa Parlimen Setiawangsa mempunyai ramai pengundi dalam kalangan anggota keselamatan selain Teluk Kemang, Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata undi golongan itu mampu memberi impak besar kepada UMNO dan BN.
"Ada tuduhan bahawa pengundi awal ini menerima arahan untuk mengundi kerajaan BN...tidak ada arahan itu. Mereka berhak menentukan siapa yang mereka mahu pilih.
"Kalau ada arahan seumpama itu, kenapa kita (BN) kalah di Parlimen Lumut?"kata Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keprihatinan terhadap golongan berkenaan tidak seharusnya bermusim dan menjelang pilihan raya sahaja sebaliknya perlu dilakukan sepanjang masa.
Beliau turut mengingatkan UMNO bahagian supaya bekerja keras dan menyelesaikan segala permasalahan bagi melakar sejarah baharu pada PRU14.
Katanya, berdasarkan kajian yang dilakukan, faktor perpaduan dalam kalangan anggota UMNO dan BN selain meletakkan calon 'winnable' dan 'likeable' akan memberi kemenangan kepada BN.
-- BERNAMA